m o z a m i d

December 11, 2013

Rawatan Alternatif 100% patuh syariah

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 1:53 pm

Rawatan Alternatif As-Samad

Lokasi: Melaka

No tel : 019 – 658 5105

 

100% patuh syariah.

Rawatan sesuai untuk semua peringkat umur dan agama.

Penyembuhan segala penyakit dan masalah dari Allah berdasarkan keikhlasan niat anda menerima rawatan.

 

Rawatan 1

Gout dan gangguan jin

Upah sekali rawatan : RM 50

Jumlah rawatan       : 1 kali

 

Rawatan 2

Buah pinggang

Upah sekali rawatan : RM 100

Jumlah rawatan       : 1 kali

 

Rawatan 3

Mata, telinga, hidung, tekak, santau

Upah sekali rawatan : RM 100

Jumlah rawatan       : 2 kali

 

Rawatan 4

Buang susuk, sakit misteri

Upah sekali rawatan : RM 150

Jumlah rawatan       : 2 kali

 

Rawatan 5

Barah, angin ahmar, perut, paru-paru, lelah, sendi, alat kelamin

Upah sekali rawatan : RM 150

Jumlah rawatan       : 1 kali

 

Rawatan 6

Buang saka

Upah sekali rawatan : RM 200

Jumlah rawatan       : 1 kali

 

Rawatan 7

Otak, jantung, tulang belakang, koma

Upah sekali rawatan : RM 200

Jumlah rawatan       : 2 kali

 

Rawatan 8

Gangguan dalam rumah

Upah sekali rawatan : RM 255

Jumlah rawatan       : 1 kali

 

Kos maksimum sekali rawatan adalah RM 200 seorang.

Kaedah rawatan:

Niat : Ya Allah, sembuhkan segala penyakitku kepada sihat sperti sediakala

Pesakit           :  Berzikir dalam hati sepanjang tempoh rawatan.

Zikir yang lazim adalah astaghfirulah, selawat dan suratul ikhlas.

Perawat akan menjalankan tugas memberi rawatan sama ada penangkapan jin/syaitan/iblis  atau pembedahan tanpa sebarang sentuhan kepada pesakit.

Semua sakit ada ubatnya kecuali mati. Kita usaha dan Allah yang menentukan segalanya.  

April 20, 2013

Tunjangkan diri dengan ilmu sebelum amal agar buahnya lebat dan sedap dituai.

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 5:46 pm

Turun naik nafas, membukakan pintu rahmat yang luas terbentang untuk menikmati dunia ini dan member yang terbaik dalam menempuh ujian acuan tuhan untuk setiap insan. Berdiri dan terdiri yang perlu dicukupi antara salingan member makna dan manfaat.

Terlalu pantas masa berlalu adalah ungkapan insan yang alpa dan sibuk sehingga terlupa ibadahnya, wajibnya, sunnahnya, harusnya, halalnya, haramnya dan was-wasnya. Kian berlalu masa berdetik dan tak mungkin kembali.

Darah yang mengalir seringkali membawa manusia kepada kealpaan apabila sipenerima amanah membenarkan si jahat berdiam dan mempengaruhi segala tindak tanduknya. Seringkali insan sedar akan kesilapannya dan seringkali mereka meletakkan kesalahan kepada persekitaran atas kesentengan akal dan daya fikir mereka.

Menggamit mimpi yang tersentak mencampakkan insan yang lahirnya mulia kedunia menjadi hina seperti bangkai yang memualkan mata yang memandang, hidung yang menghidu dan telinga yang mendengar.  

Amat sukar mendidik insan yang kosong ubun-ubunnya. Mahu di tanamkan perisian tindak balas tidak mahunya yang lebih. Mahu dibincang, lemparan mimik muka dan  kata sinis yang tersimbah. Mahu juga di tertawakan kebodohan mereka ini. Namun hati yang ingin mengajari ini pula yang sakit. Itulah beza antara mereka yang kisah dan tidak peduli.

Sedap mulut berbicara tanpa menekan kalkulator dan tanpa melihat peta kehidupan. Ibarat orang buta yang mahu meneroka dunia tapi tidak mampu melihat apa yang ada disekelilingya. Amat rugi manusia yang celik tetapi tidak mendapat erti bahagia dari dirinya.  Janganlah bakal ahli-ahli syurga itu meng’kufur’kan dirinya hanya kerana ego dirinya.

Sekelian manusia juga gemar menjadikan campur tangan urusan itu pekerjaan utamanya. Meninggalkan kerja asalnya dan akhirnya telah mengganggu pembangunan peradaban dunia  dan menjadikan dirinya yang mulia itu hina.

Sesebuah organisasi  perlu memahami kerja yang dan ruang lingkup yang terlibat dalam melaksanakan sesuatu sebelum mengeluarkan arahan agar semuanya aman dan terbangun dengan sihat dan ceria. Ketidak prihatinan ini telah memakan diri umat manusia yang lembap dalam memahami peluang dan ruang ciptaan tuhan ini untuk memacu diri menjadi lebih maju dan progresif.

Tunjangkan diri dengan ilmu sebelum amal agar buahnya lebat dan sedap dituai. 

May 30, 2012

Undangan perpindahan

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 9:41 am

Dalam sibuk menikmati detik dan waktu yang berlalu pergi, terlupa akan yang detik untuk melunaskan tanggungjawab kian pendek. Deretan memori yang di carit dalam kitab yang di sisip rapi oleh si Raqib dan Atid. Antara duanya, satu mengharap agar senantiasa ada yang perlu ditulis dan yang satu lagi sentiasa berdoa agar tiada rekod yang perlu di catat.

Dalam amal yang indah lagi baik, maka muncullah seri dan cahaya. Terpancar dari hujung rambut membawa ke hujung kaki. Tubuh yang bertuah disambut bak bangsawan, tak reput dek tanah, tak mamah di makan usia. Roh yang hidup akan terus-terus memuji keagungan tuhannya. Menambahkan kasih dan melebarkan sayang antara si pencipta dan yang di cipta. Batas yang memasak kesaktian keindahan hanyalah keutuhan iman kepada Allah dan isinya.

Ketenangan yang lahir dari wajah pasti sekali memikat setiap yang bernyawa untuk terus memuji walau tiada degup lagi yang memberi bakti. Cantingan yang terukir kini menjadi tatapan dan cukup indah andai diperagakan ramai. Yang terpandang pastikan memuji dalam kesaksian cahaya yang suci.

Tuhan yang memberi

Kami pohonkan kemaafan dan kelembutan serta perlindungan dari Mu. Janganlah Engkau hodohkan kami di hari nanti. Jangan engkau lemaskan kami dengan peluh kami sendiri di mahsyar yang pasti. Tuhan yang memberkati, kami pohonkan keadilan untuk roh yang engkau kurniakan kepada kami, jadikanlah kami dan himpunkanlah kami bersama cahaya para nabi dan rasul yang tertinggi. Sucikanlah kami dengan wangian semerbak harum yang membelai dan menenangkan. Hiburkan kami dengan keindahan halal yang telah Engkau tetapkan.

Pimpinlah kami pulang dengan kesucian dan kebaktian kepada Allah Maha Agung.

December 25, 2011

Sejenak ku terkenang perjalanan diri 2011

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 3:27 am
Tags:

Muharram telah bertukar ke Safar dan Disember semakin menghampiri Januari… lama sudah tidak aku menulis dan merenung akan kehidupan yang kian mencabar dan tercabar. Alunan sinusoidal kehidupan sedikit sebanyak menguji dan membentuk jiwa dan perwatakan seseorang.

 Cemerlang pada nama dan atas usaha orang lain adalah satu pencabulan. Setiap sesuatu yang telah tidak dipercayai adalah sebaiknya dihindari… Panjang kisah yang berlaku dalam hidupku walau Cuma kurang 6 hari genaplah hari dalam kalendar Masihi.

Dalam jemari ini menekan butang-butang papan kekunci ini aku terkenang akan peristiwa yang menimpa nabi Yusuf.. Dugaan yang dihadapinya amat getir sehingga dipenjara bukan atas kesalahannya. Aku belum tentu setabah Nabi Allah Yusuf, namun kisahnya cukup untuk membuatkan aku terfikir hari ini. Sudah sekian lama aku berjalan dalam tahun 2011M dan tahun 1432H dan kini 1433 H baru bermula. Aku telah menjangkakan banteng-benteng pasir jerlus dan juga tanah-tanah yang sesuai untuk aku bercucuk tanam.

 Dalam terang ada samar dan dalam kesamaran ada perangkap. Aku kini hilang kepercayaan terhadap individu hebat yang dinobatkan oleh kebanyakan pihak. Entah mengapa aku tidak merasa selamat dan selesa. Hatiku seakan membatu dan jiwaku menjadi sehangat panasnya api yang membakar batu yang meninggalkan bara yang sukar untuk sejuk. Ibarat larva yang menelan kehidupan, aku cuba melarikan diri mencari sinar agar sisa-sisa dan baki kehidupan ini agar subur menghijau selepas bencana.

Kupohonkan hujan dan matahari menjadi peneman kepada diri.

Wahi hujan yang turun, ku pohon dikau menjadi penawar kepada duka, menjadi penyubur kepada jiwa.

Wahai matahari yang menyinar, ku pohonkan kekuatan dan keteguhan dalam berjuang.

 Duhai malam yang berlalu, dikau belailah daku agar lena dalam tidurku demi meneruskan langkah dan cintaku menuju yang satu.

Aku seakan tidak percaya khabar yang diterima. Sejenak ku merenung, aku mahu menutup segala ruang yang boleh menghindar dari sebarang fitnah.

Duhai jiwa yang suci,

cermatlah dikau dalam bicara,

hematlah kamu dalam melangkah,

sabarlah kamu sepanjang perjalanan,

waspadalah kamu sebarang musibah.

Coretanku ini hanya sebagai pengganti diri.

Cita yang disemat haruslah dikejar

 Impian yang dibina haruslah di usaha,

pemikiran yang dicakna janganlah disia-sia.

 Jujurlah pada diri, teguhlah wahai hati,

angin yang menderu,

ombak yang memukul,

selut yang di harungi meninggalkan jejak-jejak perjalanan agar kau mengenal erti kepuasan dan pencapaian.

Sematkanlah kerinduan, tegakkanlah keindahan dan pancarkanlah kesetiaan.

May 10, 2011

waktu yang berlalu pergi…

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 5:49 am

Pantas sungguh masa berlalu, dalam kesibukan Mei telah pun menjelma. Masuk hari ini, sudah 10 hari berlalu dan semakin pantas masa bergerak ibarat berlari kencang meninggalkan suasana.

 Terlalu banyak yang telah berlaku dan telah banyak yang ku pelajari dalam memenuhi edaran waktu ini. Segala yang dihajatkan dan diusahakan kini dalam genggaman. Namun itu bukan penentu ukur bagi menggapai impian. Andai kau kira kau pantas berlari, penat jua kakimu nanti. Kita sentiasa dalam kekalahan dan kerugian kecuali orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Sabar dengan dugaan dan ujian yang ditentukan Allah ke atas hambanya adalah amat penting. Sebagaimana kita mahu melihat sesuatu itu berjaya maka kita akan merancang berdasarkan ilmu dan pengalaman yang kita ada. Walau bagaimanapun, manusia itu sifatnya tetap lemah. Kita akan sentiasa di uji dengan perlabgai cabaran dan antara perkara yang amat memerlukan kesabaran adalah apabila anda berurusan dengan orang lain.

Sebaik anda berurusan dengan pihak lain, anda semestinya berurusan dengan pihak yang anda harapkan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Sememangnya dalam setiap urusan itu adalah urusniaga. Dan dalam setiap urusniaga itu ada nilainya yang tersendiri.

Allah sendiri menawarkan perniagaan yang cukup besar kepada manusia dengan membeli pengorbanan harta, jiwa dan masa yang diberikan ke jalan Allah. Manusia sejagat ini sama sahaja hati dan nuraninya. Sebagai manusia normal, semestinya kita mahu hidup yang sempurna dengan kebahagiaan , kasih saying, makanan, pakaian, tempat tinggal yang dapat memenuhi naluri sejati seorang manusia itu sendiri.

 Dalam kita memenuhi tuntutan dan kemahuan serta keperluan diri, kita sebenarnya dibayar atas setiap perlakuan dan tindak tanduk yang dizahirkan mahupun yang kita sembunyikan. Beruntunglah orang-orang yang hidup bahagia dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Allah dalam urusan seharian mereka.

 Golongan ini beroleh dua kebaikan serta merta iaitu kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Hidup mereka ini lebih tenang dan tersusun. Kebijaksanaan manusia juga amat dituntut dalam mengatur kehidupan seharian agar kebejatan masalah dalam diri yang melanda tidak menjejaskan tuntutan-tuntutan yang telah tersusun dan tersedia.

Dalam sehari ada lima waktu khas yang dituntut oleh Allah ke atas hambanya; selain dari itu Allah melepaskan hambanya untuk mencari dan berbuat kebaikan untuk disemai benihnya agar menjadi tanaman yang subur di dunia dana akhirat sana.

Bukti dan budi yang disemai itu tidak hanya duduk di situ bahkan ianya bercambah dan semakin hari semakin mendewasakan dirinya. Nah, cukup syarat nanti berbunga dan berbuahlah ia. Dan pada setiap buah itu pula bukan hanya sedap untuk dimakan begitu sahaja! Sudahlah masak ranum dan sedap, menghasilkan pula pokok yang standing juga dengan asalnya tadi. Bukankah ini yang kita mahukan, pelaburan yang mudah namun berganda-ganda banyaknya. Bak kata pujangga masa kini, berbaloi-baloi!

Manusia dituntut menjadi insan yang efisien dan sentiasa berdaya saing bagi memanfaatkan segala kelebihan diri yang ada supaya dapat menanam benih yang terbaik untuk hari ini dan masa depan yang gemilang.

 Semoga kita sama-sama dapat menunjukkan kesungguhan kita dalam menegakkan syariat Allah disamping mengejar bahagia di dunia dan akhirat sana.

January 30, 2011

Peristiwa Jan 2011

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 2:53 am

Fuh… hampir berlalu sudah januari ini… februari pula menunggu…masih belum pasti apa yang bakal berlaku… bulan yang penuh tanda tanya, debaran  yang menghantui jiwa, keluh kesah kerana takut, bimbang, risau, menunggu jawapan dan macam-macam lagi…

Wah, bermula tahun, berlaku kejadian-kejadian yang mencabar serta menguji kebijaksanaan mengurus masalah yang ada. Segalanya bermula apabila si juruteknik ini merosakkan kerja-kerja aku dan seterusnya mengambil peralatan –peralatan komputer dengan banyaknya sehingga menjejaskan fungsi sekolah. Apakah ini semua? Susah hendak ku ungkap…

Peristiwa kedua adalah kemalangan yang berlaku di simpang sekolah. Melibatkan seorang guru yang aku minati… hampir saja berlaku krisis antara sekolah dengan orang kampung. Mujur aku sempat menyelamatkan keadaan.. wah, macam ‘hero’ lah pulak kan.. aku terpaksa pergi ke rumah orang kampung yang terlibat untuk menyelesaikan perkara ini sendirian. Ramai pada mulanya sangsi dengan kemampuanku mengurus keadaan sedemikian. Namun Allah itu maha Adil. Ujian itu adalah untuk aku, dan dengan kelebihan yang ada aku semakin berpengalaman dan semakin dekat dengan orang kampung.

Peristiwa ketiga bermula dengan datangnya kegilaan juruteknik ini menuduh aku berpakat dengan pihak tertentu untuk menjatuhkannya. Sedar ataupun tidak, hatiku mula hancur dan berderai apabila aku diterjah dengan ayat-ayat panas itu.. Celaka kau ni… Atas izin Allah memberi kesabaran ke atas ku, aku lepaskan dia pergi dengan aman.  Cukup sudah atas apa yang berlaku…

Peristiwa keempat, aku memberi peluang yang ke sekian kalinya kepada juruteknik ini untuk berubah. Apakan daya, dia ibarat di rasuk dan meracau hilang punca mungkin. Aku semakin bosan dan akhirnya tertutup sudah peluang dan pintu bantuan besar. Yang tinggal cuma ihsan sebagai manusia biasa. Tiada lagi keistimewaan yang mampu aku singkapkan ruang untuknya. 

Minggu berikutnya pada hari Isnin si juruteknik telah buat pertama kali berjumpa dengan Pn Pengetua yang baru dan memberikannya tugasan bersyarat. Aku cuma boleh berkata “ terpulanglah pada yang empunya badan”. Hilang sudah rasa teruja mahupun seronok dengan berita yang si juruteknik ini mahu pulang kerja semula. Apakan daya, cukuplah peluang yang aku berikan untuk dia berubah. Sesungguhnya pilihan di tangannya sendiri.

Dalam kesibukan kerja, tiba-tiba satu surat rasmi diterima pada hari Selasa yang mengarahkan aku untuk ke Kuching untuk taklimat mengemas kini data berikutan sistem yang sedang digunakan ileh sektor kerajaan sekarang. Perasaanku agak kurang senang mengenangkan tempoh bersedia satu hari yang diberikan  sedangkan terlalu banyak kerja yang perlu di uruskan. Mahu ke tidak kenalah redah kasi. Ku pergi juga bersama dua orang kakitangan pejabat.

Ketika di sana aku amat selesa dan seronok. Iyalahkan, dapat jalan-jalan percuma. Yang kursus tu pun sekejap je. Seronok pulak aku rasa. Aku pun belilah sedikit buah tangan untuk orang-orang tersayang dan juga rakan-rakanku. Hari Khamis itu juga aku dikejutkan dengan berita gembira. Barangan daganganku tiba sudah. Hoooray!… Aku pun buat panggilan untuk buat temu janji. Cis Pos Malaysia! Aku dipermainkan pulak. Cakap sahajalah minta aku ambil sendiri.

Setelah berbincang dengan rakan niagaku, kami pun membahagikan tugas untuk mendapatkan barangan kami itu. Banyak tu pelaburan… adalah belasan ribu jugak duit dilabur… semua demi masa depan yang lebih baik. Ini baru satu cabang niaga ada lagi yang masih dalam proses… pendek kata, ratus ribu juga ni berabis melabur…takut oooo!

Yang buat aku bengang dengan pos Malaysia adalah status online kata ‘return to sender’ sebab gagal dihantar sedangkan alamat dah bagi dan nombor telefon pun ada bahkan aku dah cakap pun dengan pegawai bertugas. Hampeh betul… !Ni antara perkara yang buat aku cemas.

Tak cukup dengan ratusan ribu tu, skrg ni status 101 ribu aku masih kabur. Entah mana duit ni tersembunyi. Penat aku hubungi pihak-pihak terlibat untuk mencari tapi hingga hari ni masih kabur… tunggulah isnin ni… moga Februari ni ada sinar baru ….

Sepanjang tempoh ini juga aku diuji dengan ilmu sihir yang jahat, tapi Alhamdulillah selamat. Ingat ya, Allah tu Maha Adil dan Dia tidak akan uji kita sekiranya kita tak mampu hadapinya.

Hajat utama aku tahun ni nak langsaikan hutang, nak  kahwin kemudian ke haji jika sempat. Mudah-mudahan dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan untuk itu semua.

Selamat maju jaya… jumpa lagi…

January 17, 2011

Alahai manusia

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 5:40 pm

Aku seronok mendengar kejayaan rakan-rakan baik mahupun yang baru ku kenali. Akan tetapi kemeriahan di hati ini kian meleset dari hari ke hari.

Kumpulan manusia yang kutemui tidak ubah seperti robot-robot yang buta dan tuli. Golongan manusia ini sibuk mengejar kekayaan sehinggakan azan isya’ yang berkumandang kurang daripada 100 meter tidak diendahkan. Bab yang paling menyakitkan hati adalah satu soalan yang terpacul keluar dari mulut yang alpa akan tanggungjawab dirinya; ‘ Ko nak solat dulu ke Zam?’ . Terkedu lidah, tergeliat hati dan hampir-hampir sahaja aku bermasam muka. Namun aku tabahkan hati untuk mengenali makhluk Allah ini.

 Semakin lewat hari berlalu, semakin menjadi-jadi mereka ini. Gila ke apenye..hehehe… Mungkin seronok sangat mereka berbual-bual dengan teman-teman sehingga terabai sekejap solat mereka itu. Pelbagai orang telah aku temui dan bermacam kerenah yang aku jumpa. Namun semuanya tidak ubah seperti mayat hidup yang sibuk dengan urusan duniawi sehingga terlupa tuntutan ukhrawinya. Pedulilah aku sama kau, jauh dilubuk hati mereka ini.

Perkara yang amat menyakitkan hati aku bermula apabila aku ditendang ibarat bola. Bila bertanya tidak mahu di jawab. Semuanya mahu berkias-kias dan seolah-olah segan silu dengan apa yang ingin diperkatakan. Peliknya mereka kata kumpulan mereka mengajar erti keyakinan diri . Tapi yang aku jumpa manusia yang tiada pendirian mungkin. Golongan ini seronok bermegah-megah dengan apa yang mereka perbuat dan gemar menimbulkan syak wasangka serta menjatuhkan maruah dan martabat orang lain.

Pada diri mereka, kau sekelian yang bukan dari kalangan kami adalah hina. Kalau kau mahu bersekutu dengan kami, kau kena jadi hamba kami dahulu. Sesudah cukup haul, barulah boleh kau duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kami.. Gelagat dan tingkah bodoh sombong ini membuatkan aku amat terhina. Dan oleh kerana aku merasa diperbodohkan, aku pun meminta diri untuk pulang. Balas si dia itu, ‘ Hek eleh, si perempuan itu tak kesah pun nak balik awal. Tak kanlah ko manja sangat!’. Panas sudah hatiku mendengarnya.

Betul yang malam masih muda kerana baru sekitar jam 11 malam. Yang menambah kepanasan aku bila di sokong oleh si perempuan itu. Tanpa mengenali aku, mereka terus-terusan ‘membasuh’ aku. Celakalah kau dan kawan-kawan kau ini. Aku pun berterus terang yang aku ni sedang kepenatan. Yang aku risaukan bila diriku ini belum solat isya’ dan esoknya aku nak masuk kolam ikan. Banyak jugalah pekerjaan aku yang lain sedang menanti. Aku memang suka untuk makan, tetapi bukan makan untuk diperbodohkan.

Telah banyak kali peluang aku berikan kepada kawanku ini namun yang aku dapat cumalah sindiran pedas. Aku bukan pengemis yang meminta rezeki dan belas ihsan dari manusia yang sombong.

Kata-kata hinaan dalam SMS yang terakhir sebelum aku berangkat pulang ke Lahad Datu amat pedas; akan ku ingat kata-kata itu sampai saatnya aku lupa akan perkara itu. Allah itu Maha Adil lagi Maha Kaya…..

December 1, 2010

1 Disember 2010

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 1:01 pm

Aku perlu terbang untuk sampai ke destinasi dengan kadar yang segera. Jiwaku punya hutang yang perlu dibayar. Mereka menanti dengan penuh sabar dan kemaafan. Tiada yang patut aku lengahkan dan tiada yang lebih penting melainkan perjalanan ini. Perjalanan mengejar cinta dan aku dibayar di Beverly Hotel KK untuk berehat sejenak. Maha Adil tuhan yang satu; membayar penat lelahku mengharungi dugaan dengan sedikit kemewahan dan keselesaan sebelum aku meneruskan langkah.

Sehebat mana pun rancangan, hebat lagi penentu perancang. Setiap kebaikan yang dirancang, pasti akan mendapat perhatian yang amat teliti. Percaya ataupun tidak, jalan yang sangat cantik dan indah. Segala jerit perih sengaja disusun sebagai pra-ujian sebelum dugaan yang lebih besar ditempuh. Setiap yang diungkap dan dicitakan akan diuji.

Kini aku sedar, jika permintaan itu besar; ujian kecil akan diberikan setahap demi setahap untuk menyediakan diri menghadapi yang lebih besar. Hidup ini ibarat tangga. Andai kita sedar bahawa kita sedang dan sentiasa di uji, kita akan sentiasa berusaha mencari jalan menghadapi ujian itu dengan jaya dan bergaya.

Teringat daku kisah semasa di MRSM Serting satu ketika dahulu. Rumah sukanku (merah) memegang motto yang berbunyi ‘Merah saga, Ada gaya pasti berjaya’. Kelakar bila sekali dengar tapi bila direnung-renung ada maknanya yang tersendiri. Jika kena gayanya sudah pasti akan berjaya. Jika tidak kena gayanya, anda tetap berjaya kerana berjaya belajar dari kesilapan dan kesalahan yang dilakukan sendiri.

Harga sebuah kejayaan adalah amat mahal namun mudah didapati. Ketekunan dan usaha yang berterusan itu yang menjadi batu penghalang besar. Jika jiwa anda hanya mahukan sesuatu yang mendatar, potensi untuk jatuh dan gagal amat tinggi. Andai jiwa anda lapar dan dahagakan kemajuan dari setiap detik ketika, sudah semestinya anda mempunyai risiko yang amat halus untuk gagal.

Istilah ‘Berjaya’ perlu bermula dari hati yang mahukan kebaikan untuk diri sendiri dan dalam masa yang sama sentiasa berkongsi dengan pihak-pihak yang memerlukan. Jangan kita bersikap pentingkan diri tetapi beramallah dengan sikap mengutamakan diri. Utamakan diri anda dalam mendekatkan diri anda dengan tuhan yang satu. Jika tidak boleh banyak sedikit dan jika tidak boleh sedikit , rawatlah jiwa anda dengan perbuatan, perkataan serta hati yang mendoakan dan bukan mencemuh jiwa-jiwa yang lemah itu.

Siapa tahu berkat doa dan detik hati tuan/puan yang mulia itu mampu mengubah taraf hidup dan taraf jiwa-jiwa yang memohon bantuan itu.

Sucikanlah hati dengan banyak mendoakan kebaikan untuk orang lain. Mudah-mudahan dengan doa dan ingatan yang berniat dan bertujuan baik akan menjadikan kita makhluk yang sentiasa dicintai tanpa perlu anda bersusah payah dan bekerja keras untuk mendapatkannya.

Rahsia sebenar kejayaan bermula dengan hati, diteguhkan dengan iltizam dan dikukuhkan dengan perbuatan.

Janganlah kita cemuh jiwa yang memohon dibantu, tetapi rawatlah hati yang keras dengan dua cara; kekerasan dan kelembutan. Semoga dengan usaha kita yang suci ini mampu mengubah umat Muhammad.

October 29, 2010

Nukilan tempias

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 12:13 am

Telah lama jari ini tidak diberikan ruang untuk menyatakan pendapat di ruangan yang diciptakan khas buat diri ini. Setelah berbulan-bulan lamanya mencari jalan terbaik melaksanakan tugas yang penuh onak dan cabaran ini, barulah kini rasa lega timbul di dalam hati. Semuanya kerana agenda perancangan dan gerak kerja sudah mula membuahkan hasil dan semakin diri ini dapat memahami selok-belok pengurusan yang serba bermasalah ini.

Fitnah berleluasa apabila semua pihak hanya mahu mendabik dada dalam masa yang sama mahu menyelamatkan diri masing-masing. Tiada siapa mahu mengakui kelemahan dan tiada siapa cuba memperbaiki kelemahan yang ada. Telah sampai masanya kuku besi dilaksanakan untuk tempoh terdekat ini sahaja. Semuanya demi kebaikan bersama. Sebaik selesai semua perkara, akan ku bebaskan ia pergi kerana ku tahu hanya disitu tempat mereka bermain.

Indahnya ciptaan Allah, Maha Kaya dan Maha Agung karya tercipta. Aku berserah setiap urusanku padamu Ya Allah. Kau permudahkanlah urusan duniaku, akhiratku dan juga addinku. Tiadalah selayaknya menerima segala puji kebesaran melainkan Engkau, tuhan yang Agung.

Segala tohmanan, kata nista, fitnah serta dosa-dosa yang membinasakan kerana menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan haruslah dibasmi dengan segera, teratur dan tertib. Mustahil ianya akan luput terus dari pandangan, namun sekurang-kurangya biarlah ia luput dari kebiasaan.

Jangan sesekali dibiarkan maksiat berleluasa, kerana pastinya ia akan membakar diri. Jauhkanlah diri dari menjadi bahan bakar api neraka, kerana itu bukan tempat serta tujuan penciptaan untuk makhluk bergelar khalifah. Usahlah dihinakan diri yang serba mulia, lahirmu ke dunia suci tanpa dosa. Usahakanlah agar engkau terus bahagia, kalau bukan di dunia; sekurang-kurangnya di akhirat sana.

Pembaca yang dikasihi, jangan terbias dek tempias fitnah noda dan nista, usah kau hanyut dipukul ombak gelora. Berusahalah dan kemudian bertawakkallah demi cinta yang sejati. Teguhkanlah diri dengan ‘tali’ yang diberi agar kau tidak menyesali……

Moga dirimu dan diriku beroleh bahagia yang abadi…..

August 4, 2010

Sekolah Berasrama Penuh

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 2:52 pm

Tertarik dengan curahan –curahan idea dan pendapat, maka menarilah jari jemari yang agak lama menyepikan diri. Memang benar sangkaan dan pendapat yang diberikan, namun perlu juga kita menilai dari segenap aspek sebelum kita menghukum sesuatu biacara. SBP adalah bermatlamatkan kepada:

1) Membantu pelajar Bumiputra untuk menaikkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

2) Meletakkan faktor asas ekonomi keluarga untuk meneruskan pengajian di SBP.

3) Menelan perbelanjaan yang amat tinggi untuk pengoperasian.

 Walau sebanyak manapun kelemahan dan ketidak puasan hati yang disampaikan, mari kita renungkan:

1) Adakah anda Berjaya membina akhlak dan modal insan gemilang?

 2) Berapa banyak SBP yang ada di Malaysia?

3) Seramai 25,000 pelajar setiap tahun sepatutnya berpeluang mendapatkan pendidikan kelas pertama seperti diSBP. Namun hakikatnya hanya 7,000 tempat sahaja di tawarkan.

4) Faktor jurang ekopnomi mungkin agak kurang ketara namun di Sabah ini jurangnya amat ketara.

5) Pemurnian kefahaman Islam di Sabah ini perlu diperjuang dan di[pertahankan oleh SBP di seluruh Sabah.

6) Bukan semua SBP mempunyai guru-guru terbaik, atas beberapa factor peribadi dan juga tekanan daripada pihak pengurusan sekolah.

7) Tidak semua guru SBP sedia mengajar di SBP. Ada yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

8) Ramai yang kurang sedar jurang perbezaan antara pelajar di Bandar dan juga di luar Bandar.

 Pendedahan dan pengalaman membentuk paradigma dan juga membina persepsi diri agar lebih terbuka minda dan kempimpinannya. Taransformasi sekolah kluster dan SBP:

1) Pembestarian(pendekatan canggih dan pelbagai) hanya berlaku sekitar tahun 2004 di Sabah.

2) Kerjasama dengan pihak luar untuk menambah peluang pengalaman pendidikan agar menjadi lebih menarik, bermakna dan berkesan.

3) Peneguhan kepada nilai kerja berprestasi tinggi.

 4) Mewujudkan lebih banyak peluang dan pendedahan kepada yang kurang berpeluang sekiranya bersekolah di sekolah-sekolah luar Bandar.

Banyak lagi isi perbincangan tapi, nantilah kita sambung kemudian…

Next Page »

Create a free website or blog at WordPress.com.