m o z a m i d

May 10, 2011

waktu yang berlalu pergi…

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 5:49 am

Pantas sungguh masa berlalu, dalam kesibukan Mei telah pun menjelma. Masuk hari ini, sudah 10 hari berlalu dan semakin pantas masa bergerak ibarat berlari kencang meninggalkan suasana.

 Terlalu banyak yang telah berlaku dan telah banyak yang ku pelajari dalam memenuhi edaran waktu ini. Segala yang dihajatkan dan diusahakan kini dalam genggaman. Namun itu bukan penentu ukur bagi menggapai impian. Andai kau kira kau pantas berlari, penat jua kakimu nanti. Kita sentiasa dalam kekalahan dan kerugian kecuali orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Sabar dengan dugaan dan ujian yang ditentukan Allah ke atas hambanya adalah amat penting. Sebagaimana kita mahu melihat sesuatu itu berjaya maka kita akan merancang berdasarkan ilmu dan pengalaman yang kita ada. Walau bagaimanapun, manusia itu sifatnya tetap lemah. Kita akan sentiasa di uji dengan perlabgai cabaran dan antara perkara yang amat memerlukan kesabaran adalah apabila anda berurusan dengan orang lain.

Sebaik anda berurusan dengan pihak lain, anda semestinya berurusan dengan pihak yang anda harapkan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Sememangnya dalam setiap urusan itu adalah urusniaga. Dan dalam setiap urusniaga itu ada nilainya yang tersendiri.

Allah sendiri menawarkan perniagaan yang cukup besar kepada manusia dengan membeli pengorbanan harta, jiwa dan masa yang diberikan ke jalan Allah. Manusia sejagat ini sama sahaja hati dan nuraninya. Sebagai manusia normal, semestinya kita mahu hidup yang sempurna dengan kebahagiaan , kasih saying, makanan, pakaian, tempat tinggal yang dapat memenuhi naluri sejati seorang manusia itu sendiri.

 Dalam kita memenuhi tuntutan dan kemahuan serta keperluan diri, kita sebenarnya dibayar atas setiap perlakuan dan tindak tanduk yang dizahirkan mahupun yang kita sembunyikan. Beruntunglah orang-orang yang hidup bahagia dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Allah dalam urusan seharian mereka.

 Golongan ini beroleh dua kebaikan serta merta iaitu kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Hidup mereka ini lebih tenang dan tersusun. Kebijaksanaan manusia juga amat dituntut dalam mengatur kehidupan seharian agar kebejatan masalah dalam diri yang melanda tidak menjejaskan tuntutan-tuntutan yang telah tersusun dan tersedia.

Dalam sehari ada lima waktu khas yang dituntut oleh Allah ke atas hambanya; selain dari itu Allah melepaskan hambanya untuk mencari dan berbuat kebaikan untuk disemai benihnya agar menjadi tanaman yang subur di dunia dana akhirat sana.

Bukti dan budi yang disemai itu tidak hanya duduk di situ bahkan ianya bercambah dan semakin hari semakin mendewasakan dirinya. Nah, cukup syarat nanti berbunga dan berbuahlah ia. Dan pada setiap buah itu pula bukan hanya sedap untuk dimakan begitu sahaja! Sudahlah masak ranum dan sedap, menghasilkan pula pokok yang standing juga dengan asalnya tadi. Bukankah ini yang kita mahukan, pelaburan yang mudah namun berganda-ganda banyaknya. Bak kata pujangga masa kini, berbaloi-baloi!

Manusia dituntut menjadi insan yang efisien dan sentiasa berdaya saing bagi memanfaatkan segala kelebihan diri yang ada supaya dapat menanam benih yang terbaik untuk hari ini dan masa depan yang gemilang.

 Semoga kita sama-sama dapat menunjukkan kesungguhan kita dalam menegakkan syariat Allah disamping mengejar bahagia di dunia dan akhirat sana.

Create a free website or blog at WordPress.com.