m o z a m i d

December 1, 2010

1 Disember 2010

Filed under: Uncategorized — mozamid @ 1:01 pm

Aku perlu terbang untuk sampai ke destinasi dengan kadar yang segera. Jiwaku punya hutang yang perlu dibayar. Mereka menanti dengan penuh sabar dan kemaafan. Tiada yang patut aku lengahkan dan tiada yang lebih penting melainkan perjalanan ini. Perjalanan mengejar cinta dan aku dibayar di Beverly Hotel KK untuk berehat sejenak. Maha Adil tuhan yang satu; membayar penat lelahku mengharungi dugaan dengan sedikit kemewahan dan keselesaan sebelum aku meneruskan langkah.

Sehebat mana pun rancangan, hebat lagi penentu perancang. Setiap kebaikan yang dirancang, pasti akan mendapat perhatian yang amat teliti. Percaya ataupun tidak, jalan yang sangat cantik dan indah. Segala jerit perih sengaja disusun sebagai pra-ujian sebelum dugaan yang lebih besar ditempuh. Setiap yang diungkap dan dicitakan akan diuji.

Kini aku sedar, jika permintaan itu besar; ujian kecil akan diberikan setahap demi setahap untuk menyediakan diri menghadapi yang lebih besar. Hidup ini ibarat tangga. Andai kita sedar bahawa kita sedang dan sentiasa di uji, kita akan sentiasa berusaha mencari jalan menghadapi ujian itu dengan jaya dan bergaya.

Teringat daku kisah semasa di MRSM Serting satu ketika dahulu. Rumah sukanku (merah) memegang motto yang berbunyi ‘Merah saga, Ada gaya pasti berjaya’. Kelakar bila sekali dengar tapi bila direnung-renung ada maknanya yang tersendiri. Jika kena gayanya sudah pasti akan berjaya. Jika tidak kena gayanya, anda tetap berjaya kerana berjaya belajar dari kesilapan dan kesalahan yang dilakukan sendiri.

Harga sebuah kejayaan adalah amat mahal namun mudah didapati. Ketekunan dan usaha yang berterusan itu yang menjadi batu penghalang besar. Jika jiwa anda hanya mahukan sesuatu yang mendatar, potensi untuk jatuh dan gagal amat tinggi. Andai jiwa anda lapar dan dahagakan kemajuan dari setiap detik ketika, sudah semestinya anda mempunyai risiko yang amat halus untuk gagal.

Istilah ‘Berjaya’ perlu bermula dari hati yang mahukan kebaikan untuk diri sendiri dan dalam masa yang sama sentiasa berkongsi dengan pihak-pihak yang memerlukan. Jangan kita bersikap pentingkan diri tetapi beramallah dengan sikap mengutamakan diri. Utamakan diri anda dalam mendekatkan diri anda dengan tuhan yang satu. Jika tidak boleh banyak sedikit dan jika tidak boleh sedikit , rawatlah jiwa anda dengan perbuatan, perkataan serta hati yang mendoakan dan bukan mencemuh jiwa-jiwa yang lemah itu.

Siapa tahu berkat doa dan detik hati tuan/puan yang mulia itu mampu mengubah taraf hidup dan taraf jiwa-jiwa yang memohon bantuan itu.

Sucikanlah hati dengan banyak mendoakan kebaikan untuk orang lain. Mudah-mudahan dengan doa dan ingatan yang berniat dan bertujuan baik akan menjadikan kita makhluk yang sentiasa dicintai tanpa perlu anda bersusah payah dan bekerja keras untuk mendapatkannya.

Rahsia sebenar kejayaan bermula dengan hati, diteguhkan dengan iltizam dan dikukuhkan dengan perbuatan.

Janganlah kita cemuh jiwa yang memohon dibantu, tetapi rawatlah hati yang keras dengan dua cara; kekerasan dan kelembutan. Semoga dengan usaha kita yang suci ini mampu mengubah umat Muhammad.

Advertisements

Blog at WordPress.com.